04 June 2013

UMNO DULU DAN SEKARANG


1. Pada 11hb. Mei 2013, UMNO merayakan hari penubuhannya yang ke 63 dengan sembahyang dan tahlil, ucapan bersemangat dari Presiden Najib Tun Razak dan majlis makan malam. Tetapi UMNO pada 2013 ini bukanlah sama dengan UMNO 1946. 

2. Pada 1946, pengasas UMNO yang berkumpul di Johor Baru bersemangat untuk menyelamatkan bangsa Melayu dari kehilangan bangsa mereka, dari kehilangan tanahair mereka, dari menjadi rakyat sebuah tanah jajahan British dan hilangnya Melayu di dunia.

3. Perjuangan pemimpin dan ahli pengasas UMNO pada masa itu ialah untuk bangsa, agama dan tanahair. Tidak ada tujuan lain yang menggerakkan mereka, sudah tentu tidak ada kepentingan diri atau niat untuk jadi pembesar negara merdeka dengan upah yang lumayan.

4. Oleh kerana itu mereka dihormati, dialu-alukan dan disokong oleh hampir semua orang Melayu. Mereka adalah pejuang dan jaguh dan orang Melayu datang berduyun-duyun untuk menyertai parti UMNO yang ditubuh oleh mereka.

5. Maka bersatulah Melayu, tanpa mengambilkira pangkat dan darjat, tanpa mempedulikan berpelajaran Melayu, Inggeris atau agama. Mereka semua Melayu samada dari negeri-negeri yang berlainan, dengan raja yang berlainan, atau apa-apa lain yang membezakan mereka. 

6. Dan berbaris padat dan rapatlah mereka untuk perjuangan yang suci, perjuangan untuk menyelamatkan bangsa mereka, agama mereka dan negara mereka. Mereka tidak takut, tidak gentar dalam menghadapi kuasa besar British.

7. Dan berjayalah mereka dengan menewaskan Malayan Union, usul satu penjajah terkemuka, satu dari pemenang perang besar dunia. Dan terdirilah negara bangsa Melayu yang merdeka yang dikenali secara rasminya Persekutuan Tanah Melayu. Nama Federation of Malaya ialah terjemahan kepada Bahasa Inggeris dan dianggap oleh orang Melayu sebagai bukan nama rasmi.

8. Itulah UMNO enampuluh lebih tahun dahulu. Mereka disanjung, didukung oleh semua yang berbangsa Melayu di negeri-negeri Melayu dan di mana-mana ada orang Melayu.

9. Tetapi tidak pada hari ini. Sekarang UMNO tidak lagi dipandang tinggi dan tidak lagi disokong seperti dahulu. Sesungguhnya ramai orang Melayu meluat dengan UMNO, anggapnya tidak lagi relevan dan perlu ditolak pun.

10. Kenapa?. Kerana UMNO tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair. UMNO ternampak dan memang pun benar, berjuang untuk kepentingan orang-orang tertentu dalamnya dan ahlinya sahaja. UMNO berjuang untuk jawatan dan pangkat, untuk memperkayakan diri, untuk sagu hati, untuk poket sendiri.

11. Untuk ini mereka berusaha mengurangkan kemungkinan diri mereka dicabar, kurangkan kemungkinan diganti oleh sesiapa yang lebih layak. UMNO adalah hak ahlinya, hak pemimpinnya yang sedia ada dan bukan hak orang Melayu. Setelah mereka mendapat tempat jangan benar orang Melayu lain, terutama yang memiliki kebolehan tertentu, menyertai UMNO. UMNO adalah untuk pemimpin dan ahli semasa, dari ketua cawangan kepada ketua bahagian. UMNO tidak perlu tambahan ahli, tidak perlu penyertaan sesiapa lagi kerana ahli yang sedia ada perlu memelihara habuan mereka. Jika terlalu banyak ahli, habuan perlu dikongsi. Dan habuan yang dikongsi tentulah tidak sebanyak sebelum berkongsi.

12. Apa itu perjuangan untuk bangsa, agama dan tanahair! Bukankah yang sudah ada dalam UMNO, sebagai pemimpin atau ahli biasa terdiri dari bangsa Melayu, yang beragama Islam. Perjuangan untuk diri mereka bermakna perjuangan untuk bangsa mereka, bangsa Melayu, agama mereka, agama Islam. Oleh itu perjuangan untuk bangsa, agama dan negara sedang diteruskan, tanpa penyertaan Melayu lain.

13. Kesannya ialah hari ini ahli tidak bertambah selaras dengan pertumbuhan jumlah orang Melayu. Dan mereka terutama yang berkebolehan, yang berbakat tidak dibenar masuk UMNO lagi.

14. Yang boleh menyertai hanyalah yang kurang berkebolehan disbanding dengan yang sudah ada. Oleh kerana penyertaan dalam UMNO mestilah melalui cawangan, yang boleh masuk UMNO ialah yang kurang berkebolehan dari ketua cawangan.

15. Ketua cawangan manusia biasa yang boleh diserang  penyakit, bahkan boleh mati pun. Satu hari ketua cawangan terpaksa lepaskan jawatannya. Penggantinya tentulah orang yang memiliki kebolehan yang kurang darinya. Dengan itu kebolehan ketua cawangan akan merosot sepanjang masa, tiap kali pengganti mengambil alih.

16. Dan ini akan terjadi dalam keseluruhan parti. Semakin lama semakin kurang pemimpin UMNO yang berbakat. Semakin lama semakin kurang ahli yang berbakat dan layak untuk menjadi calon dalam PRU. Calon payung terjun yang berbakat akan dikalahkan.  Dengan itu pemimpin Kerajaan juga akan terdiri dari yang tidak berkebolehan.

17. Di mana pergi mereka yang berbakat ini?. Mereka pergi ke mana mereka di terima, tentunya parti lawan.

18. Melihat UMNO hanya berjuang untuk diri sendiri semata-mata, dan tidak lagi untuk bangsa, agama dan tanahair, orang Melayu tidak lagi nampak kenapa mereka harus sokong dan jayakan semasa PRU orang yang utamakan kepentingan diri sendiri sahaja. Jika ada sahaja parti lain, mereka akan sokong parti itu. Hanya jika parti lain lebih buruk baharulah sokongan kepada UMNO diteruskan. Inilah yang berlaku pada PRU 13.

19. Mungkin kita boleh tepuk belakang kerana UMNO masih menjadi parti yang menang terbanyak dalan PRU 13.  Tetapi ini bukan kerana orang Melayu masih sokong UMNO.  Sebenarnya kemenangan UMNO dalam PRU 13 disebabkan mereka tidak ada pilihan.  Mereka amat takut kalau-kalau Anwar Ibrahim menang bersama dengan DAP.  Akan hancurlah harapan orang Melayu sama sekali.  Seburuk-buruknya UMNO, ia masih berbau Melayu, masih lebih mungkin memelihara kepentingan orang Melayu.  Justeru itu tidak ada pilihan bagi orang Melayu jika tidak sokong UMNO.  Namun demikian dalam PRU 14 UMNO tidak boleh harap keadaan ini berterusan.  Jika UMNO tidak bersihkan dirinya dari rasuah dan kepentingan diri, orang Melayu mungkin mencari jaguh yang lain.

20. Demikianlah riwayat dan sejarah sebuah parti politik yang lupakan usul-asal dan sebabnya ia ditubuh. Demikianlah berakhirnya perjuangan yang lari jauh dari matlamat asalnya. Dahulu lain, sekarang lain.  Sejarah dan kecapaian dahulu tidak akan meraih sokongan selama-lamanya. Dahulu dahulu, sekarang sekarang. Hanya berharap kepada kata-kata hikmat Hang Tuah, “Tak akan Melayu hilang di dunia” tidak mencukupi. Mungkin Melayu tidak akan hilang di dunia, tetapi apakah jenis Melayu yang tidak hilang ini. Apakah mereka terdiri dari pencuci kasut, pemandu kereta, kuli yang terbongkok-bongkok menyembah bangsa lain yang menjadi Tuan mereka. Dan apakah nasib UMNO? Ia akan jadi cerita dongeng dalam buku kanak-kanak dizaman akan datang.

21. Inilah masa depan yang menunggu UMNO. Inilah masa depan sebuah parti yang cemerlang tetapi sudah hilang kegemilangannya. Inilah masa depan bagi yang tidak mahu sedar dan tidak mahu membetulkan diri.

22. Kata seorang penulis sajak di zaman dulu, “tidak ada yang lebih menyayat hati dari melihat bangsa ku dihina dan ditindas oleh orang”.

 * Teguran ikhlas dari Negarawan Ulung Tun Dr Mahathir *

03 June 2013

WAHAI BANGSA MELAYU, RENUNG - RENUNGKANLAH

Sekadar hiasan

Bila Hati Melayu Mati

Ketegasan Menteri Pendidikan mengenai kedudukan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), beberapa hari lalu menarik perhatian saya. Kerajaan berpendirian, jika UEC mahu diiktiraf, mereka mesti melakukan pengubahsuaian dan perubahan selaras dengan dasar pendidikan negara dan berpandukan kepada undang-undang dalam Akta Pendidikan negara. Ini keputusan yang tepat, adil dan sangat bertoleransi. Jika ada tidak bersetuju, carilah negara lain yang boleh bersetuju.

Beginilah sepatutnya cara seseorang negarawan bertindak. Tanpa rasa takut. Cukuplah kita menjadi ahli politik hebat menjelang dan ketika pilihan raya. Apabila telah menang, tibalah masanya bertindak sebagai negarawan. Melihat kepada kepentingan semua, berbanding bangsa, dengan berpaksikan kepada perlembagaan.

Isu pendidikan Cina acapkali dan telah lama dibangkitkan oleh Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) dan sekutunya yang lain seperti seperti Jiao Zong, Dong Jiao Zong, Hua Zong dan berbagai Zong lagi. Nasihat saya, tidak perlu layan permintaan mereka lagi. Sudahlah. Kita sudah beri lebih daripada mencukupi. Apa balasannya?.

Tidak keterlaluan saya katakan, selagi kita tidak penuhi permintaan mereka, sehingga kucing bertandukpun mereka akan terus desak dan tuntut. Segelintir Cina tidak akan berpuas hati selagi mana kita tidak memenuhi segala tuntutan kecinaannya. Mungkin tulisan ini terlalu ekstrem, tetapi inilah hakikatnya untuk  memahami budaya politik Cina.

Kita selalu mengajak orang lain keluar daripada kepompong rasis. Persoalannya, adakah orang Melayu sahaja yang perlu keluar dari sikap rasis? Kalau Melayu tidak fikir untuk Melayu, adakah orang lain yang diharapkan berfikir untuk masa depan Melayu. Adakah kita mengharapkan orang Cina berfikir untuk Melayu? Jika ada Alhamdulillah. Ia baik untuk pembinaan negara bangsa.
Realiti yang ada, pantang ada sedikit dikaitkan dengan Melayu, akan ditentang habis. Jika diasimilasikan atau diassociatekan dengan orang putih, tidak mengapa? Dengan Melayu pantang sekali. Inilah sikap rasis ultra kiasu.

Sebab itulah, ketika majlis angkat sumpah exco, pembukaan sidang parlimen atau DUN, atau apa jua majlis rasmi yang melibatkan raja, tidak ada seorangpun yang memakai pakaian kebangsaan (baju Melayu). Rata-ratanya memakaikan blazer dan tali leher. Sehingga pakai songkokpun mereka tidak mahu.

Seolah-olah memakai pakaian kebangsaan ini satu penghinaan. Wal hal, apa salah, ‘berkorban’ seketika, bukannya tiap-tiap hari, lima tahun sekali atau mungkin setiap kali penggal persidangan parlimen atau DUN. Hina sangatkah memakai pakaian ini?. Sudah sampainya kita wajibkan pemakaian tersebut. Jangan terlalu memberi kebebasan atas nama demokrasi, kita juga yang akan rugi nanti.

Bayangkan jika pakaian etnik masing-masing dibenarkan dalam majlis-majlis sebegini, maka meriahlah, berwarna-warnilah majlis rasmi tersebut seolah-olah pesta pakaian, bukan majlis rasmi. Tidak ada seorangpun kalangan mereka yang akan memakai pakaian kebangsaan. Sedangkan pakaian kebangsaan adalah untuk semua, bukan untuk orang Melayu. Samalah juga pemahaman sekolah kebangsaan untuk semua, bukan untuk orang Melayu.
Saya yakin selepas ini, untuk meraikan orang lain atau memastikan lebih ramai bukan Melayu menyertai, sekolah kebangsaan akan menjadi lebih liberal dan terbuka. Tidak mustahil, ada identiti penting Melayu akan tercabut.

Ini tidak termasuk menunaikan janji-janji PRU13 baru-baru ini untuk menambah sekolah, memberikan tanah dan banyak lagi tawaran sebagai alasan untuk memancing undi mereka kononnya.
Apakah akan berlaku suatu hari ini, demi untuk meraikan semua, kita yang berubah menjadi mereka, bukannya mereka yang sepatutnya berubah menjadi kita. Semua dasar mesti disesuaikan untuk mereka, bukan mereka menyesuaikan dengan sesuatu dasar kebangsaan.
Kita mempunyai dasar yang baik, seperti Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan sebagainya. Bila tiba kepada perlaksanaan, selagi sesuatu bangsa itu tidak diraikan, selagi itulah dasar tersebut tidak diterima.

Ultra kiasu selalu berhujah, UEC telah diiktiraf di seluruh dunia, kenapa tidak di Malaysia? Jawapannya, kerana diiktiraf dunialah, menjadikan perangai mereka sanggup menterbalikkan jalur gemilang sebagai protes kepada kemenangan UMNO BN dalam PRU13 baru-baru ini. Kebanyakan mereka adalah lulusan UEC. Apakah jenis manusia sebegini yang ingin kita lahirkan.
Banyak negara lain yang tidak tahu berbahasa Cina, negara tersebut tetap maju dan urusan dengan negara China berjalan seperti biasa. Pendek kata, isu bahasa bukan isu hidup mati kemajuan sesebuah negara. Iran begitu aktif berhubung dengan negara China, tidak pula kedengaran, kerajaan Iran mewajibkan rakyat belajar bahasa Cina..

Sebelum PRU13, Perdana Menteri buat pertama kalinya dalam sejarah telah menjemput Dong Zong untuk berbincang tentang pengiktirafan UEC. PM menyarankan keperluan pelajar dari sekolah aliran Cina untuk mempunyai sekurang-kurangnya satu kredit kertas Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berserta dengan UEC, sebagai satu syarat untuk memohon memasuki IPTA. Tawaran sebeginipun sukar diterima? Apa lagi yang Cina mahu? Saya fikir persoalan ini tidak keterlaluan. Ketika kerajaan mula berlembut, adakah budi dibalas?.

Permintaan PM ini terlampau kecil jika dilihat kelulusan membenarkan sekolah vernacular beroperasi secina-cinanya. Kenapa tidak dihargai toleransi ini? Mereka tetap bersangka buruk. Pada mereka, jika diberikan penekanan kepada BM, ia akan meninggalkan kesan kepada Pengajaran dan Pembelajaran bahsa Cina. Pendek kata, mereka mahu penguasaan mandarin secina-cinanya.
Kehendak mereka tidak mengapa gagal BM, asalnya lulus mata pelajaran lain yang semua diajar dalam mandarin sebagai kelayakan untuk memasuki IPTA.

Sekarang inipun, kesan daripada sekolah vernakular, berlaku polarisasi di kampus yang amat ketara. Pergilah ke IPTA. Jangan banding dengan IPTS, kerana majoriti mereka begitu ramai. Pergilah melihat Kolej New Era Kajang yang dipunyai sendiri oleh Dong Jiao Zong dan lulusan UEC mereka. Itupun kerajaan dalam kempen baru-baru ini mahu memberikan pengiktirafan sebagai Universiti penuh beberapa kolej Cina di Pulau Pinang. Dengan tawaran ini, adakah mereka simpati dengan kerajaan?.

Saya mohon kepada kerajaan sebelum memberikan apa jua kelulusan kepada sekolah atau universiti perkauman ini, buatlah kajian terlebih dahulu. Beri kami geran untuk membuat kajian seperti ini. Ini tidak, sudah kajian tidak dibuat, asyik menyerang orang lain.

Misalnya, kontroversi kenyataan Datuk Mohd Noor Abdullah dan Tan Sri Abdul Rahman Arshad, menyeru kerajaan agar menghapuskan sekolah vernakular atas alasan ia menggugat perpaduan dan punca sokongan kepada pembangkang meningkat, harus dilihat secara positif. Kedua tokoh ini bersependapat sekolah vernakular menjadi punca perkauman semakin meluas di kalangan masyarakat pelbagai kaum dalam negara. Mereka turut mencadangkan kerajaan mengikut langkah negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina yang menerima pakai penggunaan bahasa tunggal dalam dasar pendidikan mereka.

Sehingga kini, parti pembangkang dan ultra kiasu tidak habis-habis mengecam kenyataan yang dikatakan tidak bertanggungjawab kedua-dua tokoh tersebut dan menegaskan Perlembagaan Persekutuan melindungi sekolah vernakular dan pendidikan dalam bahasa ibunda, memetik Perkara 152 (1) (a) dan (b) dalam undang-undang tertinggi negara.
Kenapa harus mangsakan tokoh ini? Buatlah penyelidikan terlebih dahulu untuk melihat kebenarannya. Fikirkan agenda nasional, daripada agenda bangsa. Ultra kiasu menyuruh kita berhenti bercakap soal rasis. Tindak-tanduk mereka lebih rasis daripada orang rasis.

Tidakkah kita sedar kerajaan telah membantu SJKC sehingga menenggelamkan sekolah agama. Persoalannya, adakah guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan ini mengundi UMNO BN? SJKC sebenarnya menjadi lubuk melahirkan lebih ramai ultra kiasu, jika tidak dipantau daripada sekarang.
Ingatan saya kepada orang Melayu, jangan menjadi terlalu liberal dan bersekongkol dengan ultra kiasu. Misalnya, pendirian Ketua Pegawai Eksekutif Melayu yang telah digula-gula dengan jawatan tinggi di syarikat penerbangan murah. Beliau dengan lantang berkata "I am Malaysian. I am anti-racism. I am disgusted by Utusan's editorial stance. Nasihat saya, jaga baik-baik syarikat tambang murah ini. Tidak perlu campur perkara di luar bidang. Kalau tak tahu lebih baik diam. Fikirkan bagaimana cara untuk memanjangkan skirt dan menutup dada paramugari Melayu di syarikat penerbangan murah ini.

Baru-baru ini saya naik muak melihat layanan mereka terhadap Sir Richard Branson, pengasas/pengerusi Virgin Group), yang terpaksa berpakaian paramugari perempuan, anjuran syarikat penerbangan tersebut. Paramugari Melayu dipaksa melayan beliau termasuk mencukur bulu kakinya. Tertanya tanya saya ke mana hala tuju anak-anak Melayu yang bekerja di sini. Apakah mereka akan menjadi Melayu atau apa..? Sebahagian paramugari Melayu disuruh berlakon seperti kartun mencalup rambut dengan warna putih dan berpakaian seksi semata-mata meraikan orang putih tersebut. Nasihat saya kepada Melayu celup ini, selamatkanlah Melayu-melayu di sini daripada hancur dan hilang identiti. Majlis tersebut diakhiri dengan mandi arak. Cuba lihat you tube mereka.

Saya menyeru agar orang PAS menonton sama, kerana dalam harakah online, saya terbaca PAS begitu memuji Melayu celup ini hanya kerana bermusuh dengan Utusan dan UMNO BN. Nasihat saya kepada PAS, berhati-hati, nanti makan diri. Sokong seseorang bukan kerana marah kepada UMNO. Sokongan hendaklah berasaskan kepada apa yang benar, apa yang salah. Itu baru nama perjuangan Islam. Jika tidak, PAS ini sama sahaja dengan yang lain.

Ingatlah! tatkala orang lain semakin kuat Cina (Indianya), adakah orang Melayu perlu menjadi semakin menjadi liberal atau cair bagi menunjukkan bahawa kita tidak rasis.  Jika ini berlaku, Melayu tidak berlaku adil kepada bangsanya sendiri. Melayu telah menjadi pengkhianat kepada bangsanya sendiri. Jangan biarkan hati Melayu mati kerana terlalu meraikan orang lain.

Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Mingguan Malaysia 26 Mei 2013