Sekadar hiasan
Bila Hati Melayu Mati
Ketegasan Menteri Pendidikan mengenai kedudukan Sijil Peperiksaan
Bersepadu (UEC), beberapa hari lalu menarik perhatian saya. Kerajaan
berpendirian, jika UEC mahu diiktiraf, mereka mesti melakukan
pengubahsuaian dan perubahan selaras dengan dasar pendidikan negara dan
berpandukan kepada undang-undang dalam Akta Pendidikan negara. Ini
keputusan yang tepat, adil dan sangat bertoleransi. Jika ada tidak
bersetuju, carilah negara lain yang boleh bersetuju.
Beginilah sepatutnya cara seseorang negarawan bertindak. Tanpa rasa
takut. Cukuplah kita menjadi ahli politik hebat menjelang dan ketika
pilihan raya. Apabila telah menang, tibalah masanya bertindak sebagai
negarawan. Melihat kepada kepentingan semua, berbanding bangsa, dengan
berpaksikan kepada perlembagaan.
Isu pendidikan Cina acapkali dan telah lama dibangkitkan oleh Persatuan
Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) dan sekutunya
yang lain seperti seperti Jiao Zong, Dong Jiao Zong, Hua Zong dan
berbagai Zong lagi. Nasihat saya, tidak perlu layan permintaan mereka
lagi. Sudahlah. Kita sudah beri lebih daripada mencukupi. Apa
balasannya?.
Tidak keterlaluan saya katakan, selagi kita tidak penuhi permintaan
mereka, sehingga kucing bertandukpun mereka akan terus desak dan tuntut.
Segelintir Cina tidak akan berpuas hati selagi mana kita tidak memenuhi
segala tuntutan kecinaannya. Mungkin tulisan ini terlalu ekstrem,
tetapi inilah hakikatnya untuk memahami budaya politik Cina.
Kita selalu mengajak orang lain keluar daripada kepompong rasis.
Persoalannya, adakah orang Melayu sahaja yang perlu keluar dari sikap
rasis? Kalau Melayu tidak fikir untuk Melayu, adakah orang lain yang
diharapkan berfikir untuk masa depan Melayu. Adakah kita mengharapkan
orang Cina berfikir untuk Melayu? Jika ada Alhamdulillah. Ia baik untuk
pembinaan negara bangsa.
Realiti yang ada, pantang ada sedikit dikaitkan dengan Melayu, akan
ditentang habis. Jika diasimilasikan atau diassociatekan dengan orang
putih, tidak mengapa? Dengan Melayu pantang sekali. Inilah sikap rasis
ultra kiasu.
Sebab itulah, ketika majlis angkat sumpah exco, pembukaan sidang
parlimen atau DUN, atau apa jua majlis rasmi yang melibatkan raja, tidak
ada seorangpun yang memakai pakaian kebangsaan (baju Melayu).
Rata-ratanya memakaikan blazer dan tali leher. Sehingga pakai songkokpun
mereka tidak mahu.
Seolah-olah memakai pakaian kebangsaan ini satu penghinaan. Wal hal, apa
salah, ‘berkorban’ seketika, bukannya tiap-tiap hari, lima tahun sekali
atau mungkin setiap kali penggal persidangan parlimen atau DUN. Hina
sangatkah memakai pakaian ini?. Sudah sampainya kita wajibkan pemakaian
tersebut. Jangan terlalu memberi kebebasan atas nama demokrasi, kita
juga yang akan rugi nanti.
Bayangkan jika pakaian etnik masing-masing dibenarkan dalam
majlis-majlis sebegini, maka meriahlah, berwarna-warnilah majlis rasmi
tersebut seolah-olah pesta pakaian, bukan majlis rasmi. Tidak ada
seorangpun kalangan mereka yang akan memakai pakaian kebangsaan.
Sedangkan pakaian kebangsaan adalah untuk semua, bukan untuk orang
Melayu. Samalah juga pemahaman sekolah kebangsaan untuk semua, bukan
untuk orang Melayu.
Saya yakin selepas ini, untuk meraikan orang lain atau memastikan lebih
ramai bukan Melayu menyertai, sekolah kebangsaan akan menjadi lebih
liberal dan terbuka. Tidak mustahil, ada identiti penting Melayu akan
tercabut.
Ini tidak termasuk menunaikan janji-janji PRU13 baru-baru ini untuk
menambah sekolah, memberikan tanah dan banyak lagi tawaran sebagai
alasan untuk memancing undi mereka kononnya.
Apakah akan berlaku suatu hari ini, demi untuk meraikan semua, kita yang
berubah menjadi mereka, bukannya mereka yang sepatutnya berubah menjadi
kita. Semua dasar mesti disesuaikan untuk mereka, bukan mereka
menyesuaikan dengan sesuatu dasar kebangsaan.
Kita mempunyai dasar yang baik, seperti Dasar Kebudayaan Kebangsaan,
Dasar Pendidikan Kebangsaan dan sebagainya. Bila tiba kepada
perlaksanaan, selagi sesuatu bangsa itu tidak diraikan, selagi itulah
dasar tersebut tidak diterima.
Ultra kiasu selalu berhujah, UEC telah diiktiraf di seluruh dunia,
kenapa tidak di Malaysia? Jawapannya, kerana diiktiraf dunialah,
menjadikan perangai mereka sanggup menterbalikkan jalur gemilang sebagai
protes kepada kemenangan UMNO BN dalam PRU13 baru-baru ini. Kebanyakan
mereka adalah lulusan UEC. Apakah jenis manusia sebegini yang ingin kita
lahirkan.
Banyak negara lain yang tidak tahu berbahasa Cina, negara tersebut tetap
maju dan urusan dengan negara China berjalan seperti biasa. Pendek
kata, isu bahasa bukan isu hidup mati kemajuan sesebuah negara. Iran
begitu aktif berhubung dengan negara China, tidak pula kedengaran,
kerajaan Iran mewajibkan rakyat belajar bahasa Cina..
Sebelum PRU13, Perdana Menteri buat pertama kalinya dalam sejarah telah
menjemput Dong Zong untuk berbincang tentang pengiktirafan UEC. PM
menyarankan keperluan pelajar dari sekolah aliran Cina untuk mempunyai
sekurang-kurangnya satu kredit kertas Bahasa Malaysia dalam Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) berserta dengan UEC, sebagai satu syarat untuk
memohon memasuki IPTA. Tawaran sebeginipun sukar diterima? Apa lagi yang
Cina mahu? Saya fikir persoalan ini tidak keterlaluan. Ketika kerajaan
mula berlembut, adakah budi dibalas?.
Permintaan PM ini terlampau kecil jika dilihat kelulusan membenarkan
sekolah vernacular beroperasi secina-cinanya. Kenapa tidak dihargai
toleransi ini? Mereka tetap bersangka buruk. Pada mereka, jika diberikan
penekanan kepada BM, ia akan meninggalkan kesan kepada Pengajaran dan
Pembelajaran bahsa Cina. Pendek kata, mereka mahu penguasaan mandarin
secina-cinanya.
Kehendak mereka tidak mengapa gagal BM, asalnya lulus mata pelajaran
lain yang semua diajar dalam mandarin sebagai kelayakan untuk memasuki
IPTA.
Sekarang inipun, kesan daripada sekolah vernakular, berlaku polarisasi
di kampus yang amat ketara. Pergilah ke IPTA. Jangan banding dengan
IPTS, kerana majoriti mereka begitu ramai. Pergilah melihat Kolej New
Era Kajang yang dipunyai sendiri oleh Dong Jiao Zong dan lulusan UEC
mereka. Itupun kerajaan dalam kempen baru-baru ini mahu memberikan
pengiktirafan sebagai Universiti penuh beberapa kolej Cina di Pulau
Pinang. Dengan tawaran ini, adakah mereka simpati dengan kerajaan?.
Saya mohon kepada kerajaan sebelum memberikan apa jua kelulusan kepada
sekolah atau universiti perkauman ini, buatlah kajian terlebih dahulu.
Beri kami geran untuk membuat kajian seperti ini. Ini tidak, sudah
kajian tidak dibuat, asyik menyerang orang lain.
Misalnya, kontroversi kenyataan Datuk Mohd Noor Abdullah dan Tan Sri
Abdul Rahman Arshad, menyeru kerajaan agar menghapuskan sekolah
vernakular atas alasan ia menggugat perpaduan dan punca sokongan kepada
pembangkang meningkat, harus dilihat secara positif. Kedua tokoh ini
bersependapat sekolah vernakular menjadi punca perkauman semakin meluas
di kalangan masyarakat pelbagai kaum dalam negara. Mereka turut
mencadangkan kerajaan mengikut langkah negara jiran seperti Indonesia,
Thailand dan Filipina yang menerima pakai penggunaan bahasa tunggal
dalam dasar pendidikan mereka.
Sehingga kini, parti pembangkang dan ultra kiasu tidak habis-habis
mengecam kenyataan yang dikatakan tidak bertanggungjawab kedua-dua tokoh
tersebut dan menegaskan Perlembagaan Persekutuan melindungi sekolah
vernakular dan pendidikan dalam bahasa ibunda, memetik Perkara 152 (1)
(a) dan (b) dalam undang-undang tertinggi negara.
Kenapa harus mangsakan tokoh ini? Buatlah penyelidikan terlebih dahulu
untuk melihat kebenarannya. Fikirkan agenda nasional, daripada agenda
bangsa. Ultra kiasu menyuruh kita berhenti bercakap soal rasis.
Tindak-tanduk mereka lebih rasis daripada orang rasis.
Tidakkah kita sedar kerajaan telah membantu SJKC sehingga menenggelamkan
sekolah agama. Persoalannya, adakah guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan
ini mengundi UMNO BN? SJKC sebenarnya menjadi lubuk melahirkan lebih
ramai ultra kiasu, jika tidak dipantau daripada sekarang.
Ingatan saya kepada orang Melayu, jangan menjadi terlalu liberal dan
bersekongkol dengan ultra kiasu. Misalnya, pendirian Ketua Pegawai
Eksekutif Melayu yang telah digula-gula dengan jawatan tinggi di
syarikat penerbangan murah. Beliau dengan lantang berkata "I am
Malaysian. I am anti-racism. I am disgusted by Utusan's editorial
stance. Nasihat saya, jaga baik-baik syarikat tambang murah ini. Tidak
perlu campur perkara di luar bidang. Kalau tak tahu lebih baik diam.
Fikirkan bagaimana cara untuk memanjangkan skirt dan menutup dada
paramugari Melayu di syarikat penerbangan murah ini.
Baru-baru ini saya naik muak melihat layanan mereka terhadap Sir Richard
Branson, pengasas/pengerusi Virgin Group), yang terpaksa berpakaian
paramugari perempuan, anjuran syarikat penerbangan tersebut. Paramugari
Melayu dipaksa melayan beliau termasuk mencukur bulu kakinya. Tertanya
tanya saya ke mana hala tuju anak-anak Melayu yang bekerja di sini.
Apakah mereka akan menjadi Melayu atau apa..? Sebahagian paramugari
Melayu disuruh berlakon seperti kartun mencalup rambut dengan warna
putih dan berpakaian seksi semata-mata meraikan orang putih tersebut.
Nasihat saya kepada Melayu celup ini, selamatkanlah Melayu-melayu di
sini daripada hancur dan hilang identiti. Majlis tersebut diakhiri
dengan mandi arak. Cuba lihat you tube mereka.
Saya menyeru agar orang PAS menonton sama, kerana dalam harakah online,
saya terbaca PAS begitu memuji Melayu celup ini hanya kerana bermusuh
dengan Utusan dan UMNO BN. Nasihat saya kepada PAS, berhati-hati, nanti
makan diri. Sokong seseorang bukan kerana marah kepada UMNO. Sokongan
hendaklah berasaskan kepada apa yang benar, apa yang salah. Itu baru
nama perjuangan Islam. Jika tidak, PAS ini sama sahaja dengan yang lain.
Ingatlah! tatkala orang lain semakin kuat Cina (Indianya), adakah orang
Melayu perlu menjadi semakin menjadi liberal atau cair bagi menunjukkan
bahawa kita tidak rasis. Jika ini berlaku, Melayu tidak berlaku adil
kepada bangsanya sendiri. Melayu telah menjadi pengkhianat kepada
bangsanya sendiri. Jangan biarkan hati Melayu mati kerana terlalu
meraikan orang lain.
Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Mingguan Malaysia 26 Mei 2013