Isu saman ekor
MAHKAMAH, melalui kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan
Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak tahun 2009 telah memutuskan bahawa JPJ
tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang
belum dibuktikan di mahkamah.
Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan.
JPJ juga telah diarahkan membayar ganti rugi kepada pemohon dalam kes
itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga
terpaksa menyewa kenderaan lain.
Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan
pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai
jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan.
Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.
Berbalik kepada tawaran kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman.
Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini tetap salah. Isu utamanya ialah
bukan jumlah bayaran kompaun atau denda itu RM300 atau RM150 atau pun
RM50. Isu utamanya adalah, adakah seseorang itu benar-benar melakukan
kesalahan yang didakwa sehingga mereka wajib membayar denda?
Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu
peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga
mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak.
Jika ada yang tertunggak maka ia bukan saman. Saman hendaklah
dikemukakan di mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan
saman dan diperintahkan hadir ke mahkamah untuk menjawab saman itu.
Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu
membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan
tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke
mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap supaya OKS hadir
mahkamah.
Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mengakui
kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya
bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak.
Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan
mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan
untuk bayar denda. Selesailah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput
juga saman itu. Tidak tertunggak.
Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana
saman-saman itu tidak pernah dibawa ke mahkamah. Kedua kerana yang
dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.
Saman ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi
sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang
dikatakan memandu melebihi had laju.
Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan.
Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau
dikenali dengan Notis Pol 170A.
Jika pemilik tidak mengaku kesalahan
maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran.
Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya
hadir ke mahkamah bagi menjawab tuduhan memandu melebihi had laju.
ZULHAZMI SHARIFF
Penasihat Undang-Undang
Kempen Anti Saman Ekor (KASE)
Yang ini saya setuju.. Tapi saman saya sudah jelaskan pun. Tidak berani nak ambil risiko walaupun boleh lawan dan memang ada hak untuk menafikanya.
Selama ini memang sudah banyak kali dengar cakap - cakap supaya saman tidak perlu dibayar dan tunggu sehingga surat mahkamah sampai. Di mahkamah baru cerita apa yang terjadi dan berapa mampu bayar.
Kerajaan dan Menteri Amaran Dalam Negeri perlu memikirkan supaya saman ekor ini dihapuskan, dan sudah pastinya isu ini akan dimainkan dengan hebat lagi pada pilihan raya akan datang oleh parti pembangkang.
Jadi saya berharap kerajaan memandang serius isu ini kerana memang benar rakyat semakin bijak tentang undang - undang dan hak diri sendiri apabila di saman..